Selasa, 25 November 2008

Apa yang Pertama Kali Tentang ...? (part 1)

  • Kelas: kelas pertama saya ialah 2 Amanah. Eh, bukannya saya 2 Usaha? Memang, tetapi saya masuk salah kelas pada awalnya. Sebab saya baru masuk ke SMKBTS, saya mesti ingat juga kelas adik saya, iaitu 1 Amanah. Semasa saya mengingat nama kelas, ada orang tanya, "Kau kelas apa?" Sebab terkejut itulah saya jawab 2 Amanah, dan saya dihantar ke kelas itu. Sempat juga belajar di kelas itu sampai masa rehat.
  • Guru Kelas: Pn. Juwariah mengajar Bahasa Melayu, saya amat berterima kasih kepada beliau kerana mengajar saya untuk berbahasa Melayu Malaysia dengan betul. Beliaulah guru kelas 2 Usaha. Saya tidak pasti mengapa saya diletakkan ke kelas tersebut, sebab guru kelasnya mengajar BM?
  • Kawan Lelaki: Yang ini, terbahagi kepada banyak cabang. Mula-mula, kawan saya di SMKBTS ialah Izzat Rahimi (2 Amanah). Itu sebab silap kelas je, rupanya terus jadi kawan pertama saya di SMKBTS.
  • Kawan Perempuan: Yang perempuan pula, Helza Syafinaz (2 Bestari), itu sebab keesokan harinya, saya dengan Izzat berborak-borak di kantin sebelum perhimpunan. Dia dengan kawan-kawannya sempat menangkap gaya bahasa saya bercakap dengan adik saya, lalu dia tanya "Awak dari Indonesia?" Hahaha, saya terkejut, jawab ya. dan kemudian kami menjadi kawan. Dia juga menjadi jambatan ke 2 Bestari.
  • Kawan Badan Khas Lelaki: Walau saya tidak mahu menulis, tetapi telah menjadi sejarah apabila saya mengenali watak Muhammad Syahir (2 Bestari). Saya mengenali dia semasa latihan PKBM. Kalau saya tahu perangai sebenar dia, dah lama saya baham seperti harimau putih.
  • Kawan Badan Khas Perempuan: Dia kawan kelas saya, Rusydiah (2 Usaha). Mula-mula saya kenal dia, nampak ada bakat yang kurang ada di dalam kelas itu. Dia memang pandai. Itu sebab saya mahu mengajar Matematik.
  • Kawan Di Luar SMKBTS: Amirul Syazwan dan Shahrir Izwan (2 Gigih), mereka kawan baik saya dari tuisyen. Sebelum saya masuk SMKBTS, saya sempat tuisyen di Permata (Allahyarham). Mereka yang menjadi narasumber ketika saya baru masuk ke SMKBTS. selain mereka, Saya ingat dengan Siti Azrah (2 Cekal). Tentang kelas mereka, saya tak pasti apa kelas mereka.
  • Kawan Non-Muslim: Pirovano (2 Usaha), walau saya tak berapa rapat semasa permulaan, tetapi seperti Rusydiah, saya nampak bakat kepandaian terhadap dirinya.
  • Penampilan Pertama: Saya diminta membacakan doa semasa perhimpunan. Siapa sangka, pelajar baru berani membaca doa tanpa teks? Itu menjadi titik tolak kepada saya untuk menjadi PRS
  • Kesalahan Disiplin: Saya berada di kelas semasa rehat. Menurut peraturan, tidak dibenarkan. Saya tidak tahu, maka saya dapat hukuman rotan. Saya rasa peraturan itu untuk sesi petang sahaja sebab kami lepas hukuman tersebut semasa sesi pagi, terutamanya tingkatan Lima.
  • Musuh: Saya tidak suka bermusuhan, tetapi seingat saya, musuh pertama ialah Huzairi (2 Usaha). Mengapa, sebab mulutnya yang celupar dan saya tidak dapat menerimanya.
  • Lawan: Perbezaan di antara musuh dan lawan terletak kepada hati kita menerima seseorang, dan lawan pertama saya ialah Lee Man Ken (2 Pintar). Selepas peperiksaan pertengahan tahun, kami berdua selalu bersaing siapa menjadi 'King Of Mathematics'. Hebat tak?
  • Kejutan: Siapa menyangka, seorang rakyat Malaysia yang baru sampai 3 bulan dari negara luar, mampu mendapat markah tinggi di dalam kelas untuk subjek Sejarah? Bukan hanya tertinggi di kelas, satu-satunya yang mendapat B. Bagi saya, inilah kejutan yang membuat saya terkejut, terima kasih kepada cikgu Ainah.
  • Rasa Terkilan: Saya mendapat nombor 1 di kelas, dengan Mathematics tertinggi di SMKBTS. Saya dijanjikan untuk dipinahkan ke 2 Bestari atas keupayaan saya, tetapi tidak dapat dengan alasan 2 Bestari ramai, 2 Pintar lagi ramai, 2 Cekal masalah disiplin, begitu juga dengan 2 Gigih dan 2 Amanah. Hanya 2 Usaha yang kurang masalah disiplin.
  • Cinta: Bukan bersifat melampau, tetapi cinta pertama saya ialah Nur Afiqah (2 Bestari). Saya memang menyukai dia, tetapi saya tahu yang saya ini pelajar baru, kelas di bawah kelasnya, lagi pun dia pengawas. Sampai sekarang saya tak dapat lupakan bahawa dia cinta pertama saya.
  • Perbuatan Gila: Sebab saya menyukai dia, sampai saya mencari tahu di mana rumahnya. Kemudian, saya mahu menjadi pengawas, tetapi tidak kesampaian. Bukankah cinta itu gila?
  • Matematik: Setiap terbayang Matematik, saya terbayang betapa gila dan susahnya pelajar lain mencabar Lee Man Ken. Selepas saya mengalahkan dia, ramai yang datang jumpa saya, tanya saya tentang Matematik. Saya suka sebab semakin ramai kenalan saya, tetapi saya susah sebab saya tiada masa untuk mengajar diri sendiri. Perkara itu berlaku sampai sekarang.
  • Anugerah Pelajar: Saya dapat anugerah ini, semasa 3 Bestari. Saya adalah pelajar terbaik Kemahiran Hidup (87), Matematik (95), Pejara Terbaik di Kelas 2 Usaha (no. 1) dan Pelajar Terbaik Tingkatan Dua (no.3). Saya kalah dengan Lee Man Ken (3 Pintar) dan Aima Syamimi (3 Tawakal) untuk Terbaik Tingkatan Dua, tetapi saya dan Man Ken adalah pelajar yang paling banyak mendapat anugerah masa itu.
  • Badan Khas: Walaupun saya berminat menjadi pengawas pada awalnya, tetapi faktor kawan sekitar meminta saya menjadi PRS membuat saya berani bergabung dengan PRS. Saya ingat bagaimana cikgu Noraslina meminta saya untuk menjadi PRS sesi petang selepas saya membaca doa perhimpunan, tetapi ditunda sebab semua badan khas baru telah dilantik. Maka, saya terpaksa menunggu hingga tahun hadapan.
  • Asrama Puteri: Pada mulanya, kawan-kawan 2 Usaha saya berkata bahawa kelas Tawakal untuk perempuan, dan kalau mencari pasangan, lebih baik dari sana. Saya belum terlintas untuk mencari pasangan pada masa itu. Selepas saya masuk ke 3 Bestari, pandangan saya terhadap Tawakal berubah apabila mereka menjadi saingan berat 3 Bestari. Entahlah, sampai saya ingat ketika Pn. nafiza Alini meminta kedudukan kelas 3 Bestari dan 3 Tawakal sebagai perbandingan.
  • Badminton: Itulah sukan pertama yang saya ceburi semasa di 3 Bestari. Perasaan untuk bermain itu muncul apabila kelas 3 Bestari dan 3 Pintar bermain bola sepak semasa PJ. Pada masa itu, saya dan beberapa pelajar yang kurang pandai bermain bola sepak bercadang untuk bermain badminton pada minggu hadapan. Itulah sejarah tertubuhnya pertandingan badminton sesama Bestari-Pintar.
  • Pertandingan Badminton: Selepas cadangan badminton, idea untuk mengadakan perlawanan badminton tercetus oleh saya. Idea ini disetujui oleh Fahmi Akmal, Mohd Syafiq dan Amirulhakeem (3 Bestari). Maka, terlaksanalah pertandingan ini dengan kami berempat menjadi peserta.
  • Wakil Sekolah: Saya menjadi wakil sekolah untuk Azan pada 3 bestari peringkat zon Bangsar. Seingat saya, saya dengan Zabri Zaini (3 Bestari) bertukar tempat, yang mana saya sepatutnya menjadi wakil Tilawah Al-Quran. percaturan itu tidak membuahkan hasil apabila kami semua kalah, kecuali Tilawah Al-Quran perempuan dan Syarahan perempuan.
  • Pingat: Saya ingat pingat perak pertama dan terakhir saya dapat semasa berada di SMKBTS, iaitu pingat lontar peluru kelas 2. Saya hanya tahu bagaimana melontar peluru dengan betul, tetapi lontaran saya kurang jauh. Semasa lontaran terakhir, saya melontar dengan baik, tetapi kaki saya mengenai penghadang. Dengan pantas saya tarik kaki saya, tetapi cikgu perasan. Saya mengatakan tidak mengena. Saya rasa, kalau saya lambat menarik kaki saya, mungkin saya tidak mendapat pingat perak, dan rumah Ungu tidak dapat merangkul semua pingat lontar peluru kelas 2.
  • Bola Sepak: Minat saya kepada bola sepak bermula apabila Piala Dunia 2006 bermula. Saya dan Fahmi Akmal yang sama-sama minat tetapi kurang pandai bermain bola sepak turut mengambil bahagian. Saya menyokong Perancis kerana Zinedine Zidane, sedangkan Fahmi menyokong England kerana david Beckham. Malangnya, England tersingkir di suku akhir dan Perancis menjadi naib juara.
  • Bola Baling: Pelajar 3 Bestari mengambil bahagian dalam kelab bola baling. Kerana jurulatih untuk skuad lelaki tiada, maka kami semua tidak tahu menahu bagaimana bermain bola baling dengan betul. Pada masa latihan, kami semua terpaksa belajar bermain dengan pelajar perempuan, dan kami mengadakan perlawanan persahabatan dengan mereka. Percubaan pertama berjaya apabila kami mengikat kedudukan 2-2. Saya mengambil peranan sebagai sayap kiri pada separuh masa pertama dan penjaga gol pada separuh masa kedua.
  • Percubaan PMR & PMR: Inilah kali pertama saya mengambil peperiksaan besar. Pada masa percubaan PMR, saya termasuk calon untuk mendapat 8A pada masa PMR, kerana saya adalah pelajar yang paling banyak mendapat A (5A) pada percubaan. Tetapi, saya hanya mendapat 7A pada masa PMR.
  • Ramalan: Setiap saya memikirkan sesuatu perkara, saya akan meramalkan apa yang akan terjadi, dan jarang di antara ramalan saya yang silap. Saya ingat bagaimana saya meramalkan siapa yang akan menjadi ketua dan penolong ketua badan khas tahun 2006 semasa saya di tahun 2006, dan ramalan saya tepat, kecuali ketua pengawas. Perkara ini saya sampaikan kepada penolong ketua pengawas 2008, Nur Afiqah.
  • Memasak: Semasa di 3 Bestari, guru kelas kami mencadangkan satu kompetisi memasak di antara pelajar lelaki dan perempuan. Saya berasa suka hati kerana bakat memasak saya disalurkan di hadapan kawan-kawan saya. Saya mahu memasak nasi goreng atau mi, tetapi Zabri telah mengambil bahagian. Maka, saya dengan Anas membuat roti sandwich telur. Tidak disangka ternyata sandwich itu mendapat sambutan.
  • 4 Bestari: Saya rasa, inilah kelas pembentukan jati diri. Gabungan daripada 3 Bestari sebagai majoriti, 3 Pintar, 3 Tawakal, 3 Jujur dan pelajar baru, kami saling mengenal antara satu sama lain. Selain itu, ada juga di antara kami yang terpaksa berpindah ke asrama penuh, MRSM, teknik atau pindah tak tentu hala. Yang jelas, saya mengenali subjek-subjek baru yang ada di antaranya menjadi lombong emas untuk mendapat nombor satu di kelas.
  • Kemenangan Untuk SMKBTS: Tahun kedua saya masuk MTQ selepas kecundang dalam acara Tilawah Al-Quran, saya masuk Syarahan Bahasa Melayu. Saya mendapat nombor giliran 1, tetapi sebab kontinjen kami lambat sampai ke Methodist Girl School, maka saya terpaksa menunggu sampai peserta terakhir. Mungkin ada hikmah kerana bertolak lambat, kerana boleh belajar daripada peserta sebelumnya. Siapa sangka, saya satu-satunya peserta lelaki dalam kontinjen yang meraih juara, selain Tilawah Al-Quran, Syarahan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk perempuan. Bahkan kami juga mendapat juara keseluruhan.

Tiada ulasan: